Noraminah Omar

Tuesday, July 22, 2014

Tip buat IBU (20) : Dugaan dan Kebahagiaan

Ibu,

Dugaan bagi kita dan anak-anak itu sifatnya sentiasa dan mendatang. Ramai yang menasihatkan kita untuk melalui dugaan dengan sabar dan redha. Ketenangan yang datang akan membantu kita melaluinya dengan baik.

Ramadhan kini sudah menjejak hari ke 24. Maka, sedar atau tidak, kita dan anak-anak sudah melalui perjalanan Ramadhan yang kian hampir ke penghujungnya.

Dugaan datang dalam pelbagai cara. Ia berbeza dari setiap diri dan individu. Malah, anak-anak juga ada dugaannya sendiri.

Anak-anak zahirnya gembira dan mahu seronok. Menjelang sambutan Aidilfithri, ada saja permintaan yang jelas dan pasti daripada mereka. Ringkasnya, mereka mahu seronok, berbaju dan berkasut baru dan pastinya mahu 'balik kampung'.

Semasa Ramadhan, mereka juga melalui dugaan, sama seperti kita sebagai ibu. Ada dugaannya.
Anak-anak diduga dengan keinginan dan impian. Banyak dorongan luar termasuklah iklan di kaca televisyen.

Anak-anak yang sudah bersekolah pula, mendengar banyak cerita. Kawan-kawan bercerita. 

Apapun, kita dorong anak-anak untuk melihat kebahagiaan. Setiap apa yang berlaku ada jalan yang bakal membawa kita ke destinasi.




Ramadhan yang berbaki ini:

+ Berikan anak peluang untuk terus konsisten dengan puasa dan ibadah harian. Teruskan sokongan.

+ Teruskan aktiviti ringkas, biasa tetapi memberi makna. Menyediakan biskut kegemaran juga menjadi salah satu daripadanya.

+ Berikan ruang mereka memilih dalam ruang lingkup yang terkawal. Seringkas memilih sepasang kasut baru yang berkadaran dengan bajet ibu.

+ Berceritalah. Teruskan mendengar apa anak-anak mahu ceritakan. Kongsikan pengalaman ibu sendiri.

+ Berdoa. Doakan yang baik-baik.

Ramadhan tahun ini sangat berbeza. Bukan hanya untuk kita sekeluarga. Malah untuk semua rakyat Malaysia. Meskipun anak-anak kecil kelihatan seperti tidak tahu apa-apa, kita usah terkejut apabila mereka boleh menunjukkan reaksi dan bertanya soalan seperti orang dewasa.

Akhir sekali, salam perjuangan buat ibu-ibu.
Bersama dengan anak-anak kita, kita buka jalan untuk kita mencipta peluang.

Selamat berjuang!



Sunday, July 20, 2014

Tip buat IBU (19) : Ramadhan yang Seronok

Seronok itu subjektif.

Ya, betul.
Bagi sebahagian besar anak-anak kecil, berpuasa itu membawa keseronokan menuju sambutan hari raya.
Ramai anak kecil yang menantikan kehadiran Ramadhan dengan memori yang kuat kepada menjelangnya Syawal.

Anak-anak gembira apabila diraikan.
Tidak kira sama ada semasa berbuka puasa atau bersahur, ia menjadi satu keraian juga.

Ramadahan menjadi antara yang istimewa dengana adanya aktiviti biasa yang dimodifikasikan secara khusus.



Buku Catitan. Diar. Jurnal.
Ini sangat popular dikalangan anak perempuan.
Untuk anak lelaki, ramai yang lebih berminat mencatat dalam bentuk visual atau komik 

Sediakan buku catitan atau diari Ramadhan untuka anak. Bantu anak-anak untuk terus konsisten sama ada setiap hari atau seminggu 3 kali untuk mencatat.

Tema dan tajuk dapat membantu anak-anak menulis atau melukis mengikut topik.

Antara contoh tema yang boleh digunakan ialah:
+ bagaimana rupa saya semasa berpuasa?
+ apakah yang saya rasa ketika bersahur?
+ bagaimana saya berbuka puasa?
+ Biskut raya kegemaran saya.
+ Minuman yang sedap semasa berbuka.
+ Baju raya saya.
…..

Banyak tajuk lain yang Ibu boleh sesuaikan. Sama ada ditulis dalam bentuk ayat atau karangan pendek, ia adalah pilihan. Adakalanya, sekeping lukisan sudah mencukupi.

Bahan?

Ibu boleh sahaja menggunakan sebarang jenis buku. Buku yang kosong tanpa garisan adalah lebih molek. Anak-anak akan dapat mengembara dengan imaginasi sendiri.

Ramadhan menjadi lebih seronok buat anak-anak dengan sedikit bimbingan yang berterusan.

Selamat berpuasa!
.

Thursday, July 17, 2014

Tip buat IBU (18) : Menyuntik Semangat

Semangat?

Ya. Anak-anak perlukan suntikan semangat. 

Pada peringkat awal begini, anak-anak yang masih belum dapat membuat keputusan sendiri dan masih sukar membezakan antara yang benar dan salah

Sokongan berterusan serta semangat dari mereka yang dewasa, banyak membantu kepada perkambangan daya percaya diri anak-anak.





Agak kedengaran biasa, kita akan menyediakan hidangan berbuka puasa.
Berikan semangat kepada anak-anak dengan menyediakan juadah kegemaran dan pilihan mereka semasa sahur dan berbuka.

Berikan peluang meskipun hanya seminggu sekali.
"Apa Adik mahu makan untuk berbuka?"

Malah apabila sesekali mereka meminta, bolehlah ditunaikan hajatnya.

Ini perkara biasa. Tidak ada yang istimewa. Namun, bagi seorang anak, ia adalah satu semangat. Menandakan sokongan yang diberikan.

Ibu saya juga pernah menyediakan biskut raya atas permintaan saya.
Biskut Mazola. Biskut kegemaran.

Waktu itu, saya tidak ingat atau fikir apa-apa.
Namun, apabila dewasa, kenangan itu mengingatkan saya tentang 'semangat' yang saya perolehi daripada pengalaman yang biasa itu.

Ibu.
Seringkali, perkara 'biasa' itu, kesannya 'luar biasa.

Selamat berjuang Ibu!


Wednesday, July 16, 2014

Tip buat IBU (17) : Dorongan yang Berterusan


Memulakan sesuatu itu lebih mudah daripada mengekalkannya.
Mencuba perkara baru lebih mmudah daripada mengekalkan perkara yang lama.
Memulakan rutin baru lebih mudah daripa meneruskan rutin lama.

Ya. Komitmen dan kesungguhan yang berterusan itu lebih sukar daripada memulakan sesuatu yang baru.

Maka, motivasi diri di bulan Ramadhan ini juga tidak ketinggalan. Semangat dan kesungguhan perlu dikekalkan. Malah, ia bakal diteruskan meskipun memasuki bulan Syawal nanti.

Anak-anak memerlukan banyak dorongan.  Dorongan yang paling besar datang daripada keluarga sendiri. Lalu, ibu dan bapalah yang menjadi ketuanya.

Hakikatnya Ibu, kita adalah pemangkin kepada semua ini. Suasana dan budaya saling mendorong dan menyokong antara satu sama lain bermula dengan diri kita.

Ya. Adakala kesibukan harian menyebabkan kita sesekali lupa untuk mendorong.
Cara mendorong yang paling mudah ialah melalui pujian.




Pujian diberikan kepada hasil yang baik. Ia diberikan serta merta. Apabila perkara baik itu dilakukan dihadapan orang, maka pujilah kelakuan yang baik itu dihadapan orang.

Anak-anak kecil boleh terus didorong dangan pujian yang betul.

Contohnya, berikan pujian dihadapan ahli keluarga semasa berbuka apabila anak dapat mencapai sasaran jam berpuasa pada hari itu.

Ibu-ibu boleh baca lanjut tentang teknik memuji disini: Teknik Memuji.

Tuesday, July 15, 2014

Tip buat IBU (16) : Rawat dan Rehat


Cuaca di bulan Ramadhan lebih panas daripada biasa. Meskipun, tugas memasak hanya 2 kali untuk berbuka dan bersahur, namun rutinnya agak berbeza.

Ibu mesti punya cukup tenaga, bukan hanya dari segi fizikal malah emosi juga.
Ada ibu-ibu yang bimbang tidak dapat bangun awal untuk memasak makanan sahur, lalu tidak tidur lena pada malam harinya.

Ada juga para ibu yang mengambil peluang mencari wang saku tambahan dengan kerja tambahan di bulan Ramadahan. Online atau offline, ada tugas dan bebanan tambahan yang digalas.

Ada pula ibu-ibu yang mengambil banyak masa dan tenaga menyediakan juadah berbuka puasa yang diminta oleh anak-anak.



Apa pun situasi ibu, berikan cukup masa untuk ibu dan anak-anak rehat.
Sesekali, berhenti dari apa yang biasa ibu lakukan.

Pejam mata, baring atau baca Al Quran.

Rawat. Rehat.