Noraminah Omar

Sunday, August 24, 2014

TIP buat IBU : Titipan Khas

Banyak nasihat dan tip kepada ibu dikongsikan. Supaya ibu lebih bertenang dan kurang mendapat kesan tekanan. Luangkan masa untuk anak-anak. Pulang dari bekerja, ambil masa. Bercakap dahulu dengan anak-anak.

Hakikatnya, ramai ibu-ibu yang melalui putaran. Ada masanya, semua nasihat dan tip ini memang dipraktikkan. Pada kebanyakan masa lain pula, ia sangat sukar menjadi kenyataan.

Ibu yang masih berada dlam lingkungan umur 25-35 tahun melalui putaran yang berbeza daripada ibu yang berumur 35 tahun ke atas. 

Ada beberapa perkara yang mugkin perlu ditambah dalam senarai ini. Sama ada ibu bekerja di pejabat atau bekerja di rumah, masing-masing ada bahagian tekanan dan kegembiraannya.

Ya, Setiap ibu itu unik. Setiap keluarga itu istimewa. Beberapa perkara berikut, mungkin boleh ibu titipkan bersama dalam senarai tip dan panduan sedia ada.


Semak semula:

1. Jadual rutin harian

Apakah jadual rutin harian ibu tetap sama dalam 30 hari?
Apakah ada aktiviti dan masa terluang hanya untuk ibu bersendiri?
Apakah ibu masih bertemu dengan rakan dan duduk minum kopi walau hanya sekali dalam sebulan?
Bilakah kali terakhir ibu membelikan diri sendiri sepasang baju atau sepasang kasut?
Bilakah kali terakhir ibu tidur selain dari di dalamkamar tidur ibu di rumah?

2. Pola pemakanan ibu

Apakah ibu mengambil makanan berkhasiat?
Cukupkah pengambilan air (minum) dalam sehari?
Ibu hanya banyak makan pada waktu malam sahajakah?
Apakah ibu masih punya budaya menghabiskan semua lebihan makanan anak dan suami?

3. Pengambilan ubat

Apakah ibu mengambil sebarang vitamin tambahan?
Apakah ibu masih mengambil pil hormon (pil perancang) dalam usia selepas 35 tahun?
Apakah ibu mengambil ubatan tambahan dengan nasihat doktor?

4. Pemeriksaan kesihatan

Apakah ada masanya ibu cepat marah dan sukar mengawalnya?
Apakah ada masanya sehingga ibu tertidur tanpa sedar semasa memandu?
Bilakah kali terakhir ibu melakukan pemeriksaan kesihatan?
Apakah ibu ada pergi bertemu doktor gigi?
Apakah perlu ibu membuat pemeriksaan darah?



Sempena meraikan hari kemerdekaan yang bakal menjelang, 'merdeka'kanlah diri dengan keperluan yang seringkali kita terlepas pandang.



Selamat berjuang ibu!
.

Saturday, August 23, 2014

HUJUNG MINGGU YANG BIASA

Anak-anak mempunyai rutin hujung minggu yang berbeza.

Ada anak-anak yang banyak menghabiskan hujung minggu dengan pulang ke rumah datuk dan nenek. Bagi mereka yang mempunyai datuk dan nenek yang tinggal berdekatan, adakalanya itulah rutin hujung minggu. Ada yang keluar bercuti. Malah, ada juga anak-anak yang menghadiri kelas tambahan.

Apa juga aktiviti pilihan keluarga dan anak-anak, ia merupakan cara yang baik untuk bersama seisi keluarga.

Bagaimana dengan keluar dan bermain di taman?
Apakah itu pilihan juga?

Ya. Keluar ke taman atau padang permainan adalah antara pilihan yang ringkas dan menjimatkan. Ada banyak taman permainan yang berdekatan dengan kawasan perumahan yang boleh dipilih.

Anak-anak boleh saja bermain dengan gembira di kawasan yang luas. Paling tidak duduk-duduk dan menghayati keindahan alam sambil makan snek yang disediakan di rumah.

Sebiji bola juga boleh menjadi satu kegembiraan tanpa batas bagi seorang anak apabila berada di taman.

Hujung minggu, adalah hari kelepasan bagi keluarga dan anak-anak.
Pilihan yang biasa tiak semestinya memakan kos yang tinggi.

Rancangkan yang mudah. Ringkas dan gembira.



Selamat berhujung minggu!
.

Tuesday, August 12, 2014

Sedikit tetapi Banyak

Menabung dan menyimpan adalah perkataan yang biasa kita gunakan untuk menggalakkan anak-anak, malah diri sendiri untuk menyimpan.

Selalu juga kita sebut, menabung untuk hari tua. Tabungan untuk orang dewasa seperti kita yang bekerja ada dilakukan tanpa sedar melalui potongan gaji, KWSP.

Namun, bagi kanak-kanak, apakah perkataan yang sesuai digunakan untuk mendorong mereka menabung dan menyimpan?

Perkataan yang sama masih digunakan, tidak ada masalah. Beberapa perkara berikut dapat membantu mendorong anak-anak kecil belajar menabung dan menyimpan.

Bermula dengan aktiviti menabung sebagai asasnya.
Satu persatu.
Cara mahu mengembangkan duit pula diceritakan kemudian.


+ Mulakan dengan yang mudah

Bagi anak-anak yang sudah bersekolah tadika atau sekolah rendah, bolehlah memulakan tabungan dengan nilai yang kecil. 10 sen atau 50 sen sehari juga memadai bergantung kepada jumlah duit poket yang mereka terima.

Anak tadika boleh dimulakan dengan memberi mereka 20 sen sehari sebagai elaun tabungan.

+ Lakukan bersama

Aktiviti menabung ini apabila dilakukan secara bersama akan memberikan kesan yang menarik. Apabila anak-anak mempunyai adik-beradik yang ramai, ibu bapa boleh memantau sahaja.

Namun, sekiranya anak tunggal, sokongan ibu bapa menjalankan aktiviti menabung secara bersama adalah perlu.

+ Jadikannya menarik

Sediakan tabung yang unik. Tidak semestinya mahal. Bermula dengan apa saja bentuk tabung yang sesuai untuk anak-anak.


+ Jadikannya seronok

Berikan KPI tabungan.

Mulakan dengan bercerita apakah nilai yang dapat dikumpulkan dalam masa 20 hari. Tunjukkan kepada anak-anak dalam bentuk visual dan terangkan.

Contoh:
10 sen sehari
20 hari = 20 x 10 = 200 sen sebulan.
200 sen = 2 ringgit.

Kita akan dapat 10 ringgit pada bulan Disember apabila kita mula menabung dalam bulan Ogos ini.

Sebutkan sahaja meskipun kita tidak pasti mereka faham atau tidak.
Anak-anak akan bertanya. Tunjukkan lagi.

+ Jadikannya mendorong dengan sendiri

Berikan pilihan untuk anak merancang perbelanjaan wang itu.

Anak-anak diberikan sasaran bagaimana untuk membelanjakan wang itu.

***

Apabila tiba pada situasi ini kelak, kita akan susunkan aktiviti untuk anak-anak faham keperluan terus menyimpan dan disulami dengan sedikit kemahiran untuk mengembangkan duit itu nanti.

Ya.

Satu persatu, untuk anak-anak memahaminya.
Apabila anak mula bertanya dan bersedia, boleh diajarkan terus.

.

Thursday, August 7, 2014

Berkongsi : Ada cara dan hadnya

Salah satu kemahiran bersosial yang diajarkan seawal pembelajaran di tadika ialah konsep berkongsi. Susunan suasana pembelajaran itu sendiri membolehkan anak kecil belajar konsep berkongsi secara tidak langsung.

1. Ruang penyimpanan 

Anak-anak perlu menyusun kasut di rak khas yang disediakan. Malah ada tadika yang menyediakan ruang khas untuk anak-anak menyimpan beg dan barang masing-masing. Anak-anak belajar berkongsi ruang bersama-sama.

2. Bahan pembelajaran

Anak-anak perlu berkongsi buku cerita, alat-alat kraf dan bahan pembelajaran lain. Dalam situasi ini, susunan begini dibuat dengan senagaja agar anak-anak dapat belajar menghormati hak orang lain atas perkara atau barang yang sama.

Meskipun ada ibu bapa yang kurang menggemarinya (mereka mahu anak mereka menerima yang terbaik dengan mempunyai set persendirian), kebanyakan pengusaha dan pendidik awal kanak-kanak masih mengamalkan konsep ini.

Hasil pembelajaran itulah yang dilihat penting daripada proses ringkas ini.


3. Fasiliti dalam tadika

Anak-anak juga diberikan peluang untuk berkongsi semasa menggunakan fasiliti di tadika.

Tandas, sinki dan tempat bermain adalah antaranya.

Ya, berkongsi perlu ada bimbingan. Bukan semua boleh dikongsikan, dan berkongsi ada tatacaranya.



Berikut adalah antara yang ringkas:

1. Mendapat keizinan daripada tuan punya ATAU orang yang bertanggungjawab atas barang atau perkara itu.

2. Tidak melanggar peraturan dan adab susila setempat. (Tadika berlainan , malah kelas yang berbeza mempunyai budaya yang berbeza)

3. Menjaga keselamatan bersama.

Perkongsian botol minuman tidak digalakkan. Ia boleh menyebabkan virus selsema (atau yang berkenaan) tersebar dengan lebih cepat. Anak-anak boleh berkongsi dengan menuang air dalam cawan dan minum dengan cawan bersih yang berbeza.

.