Noraminah Omar

Thursday, October 12, 2017

TADIKA dan yang BUKAN TADIKA

Hari ini kami berbual-bual tentang 'tadika' dan yang 'bukan tadika'. Yalah, dalam suasana 'hot' semua ibu bapa mencari tadika untuk anak-anak, banyak cerita yang keluar.

Pada masa yang sama, ibu bekerja macam saya, ad akawan-kwan yang juga mengusahakan tadika. Secara amnya, tadika memerlukan banyak peraturan untuk pengusahanya mendapatkan lesen sebagai perusahaan.

Sekarang, kita ada pilihan. Asalkan menghantar anak ke program prasekolah sudah memadai.
Jadi, selain tadika, yang 'bukan tadika' juga banyak.
Ada yang di bawah lesen pusat perkembangan dan ada yang di bawah lesen 'tadika islam' yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

Banyak pendapat dan juga logik akal yang dikongsikan oleh orang sekeliling.
Secara peribadi, sebagai ibu bapa, ia adalah satu pilihan.
Maka, secara bebas, ibu bapa memilih.

Bagi kawan-kawan yang menjadi pemilik tadika (berlesen) atau yang 'bukan tadika' dan mengusahakannya, mereka juga ada komitmen kepada perusahaan dan pekerja serta anak-anak dan ibu bapa. Perusahaan itu, kebanyakannya ialah sebahagian daripada kerjaya mereka juga.

Dalam industri yang baik dan mulia ini, sejujurnya, kita mahukan suasana harmoni, politik yang bersih. Meskipun pada akhirnya, pilihan di tangan ibu bapa, sebagai pengusaha atas nama lesen tadika, tadika Islam, pusat perkembangan atau sekadar pusat aktiviti kanak-kanak, etika dan integriti kita sebagai ahli masyarakat, mesti dikekalkan.

'Persaingan' akan kekal di mana-mana sahaja kita berada.
Kita sama-sama menangi dahulu emosi kita.
Kelak, manfaat besar akan sampai kepada anak-anak.
BUKAN anak kita sahaja, malah anak-anak seluruh negara dan dunia.

Saya sempat berbual dengan rakan guru yang terlibat dalam urusan pendidikan peringkat sekolah rendah. Untung juga ada kawan-kawan yang sudi berkongsi.

Bagi ibu-ibu yang memang akan memilih aliran sekolah rendah kerajaan, kita juga mesti bersedia.
Saya kongsikan imej ini, yang menunjukkan beberapa bahagian penting untuk anak kita kuasai.
Ini kemahiran khusus, dalam bidang akademik.

Untuk peringkat tadika, biasanya anak-anak perlu disediakan dengan kemahiran 1-4 sahaja.
Selebihnya adalah pencapaian di sekolah rendah.

.





.

Bagi ibu-ibu yang ramai anak dan dengan keperluan menyusun bajet keluarga (macam saya), ramai yang akan pilih untuk masuk ke aliran sekolah rendah, sekolah kerajaan.

Maka, keperluan anak-anak kita mungkin berbeza dengan keperluan anak-anak ibu-ibu lain.
Adakalanya, kita 'stress' juga.
Walaubagaimanapun, kita jugalah yang menentukan itu, dengan keputusan kita.

Apabila anak-anak mula masuk darjah 1, sokongan kita kepada mereka bukan hanya dalam hal sosial, termasuk juga emosional. Anak-anak kita, tanpa ada persediaan minima dalam hal akademik, akan melalui satu fasa cabaran apabila masuk darjah 1.

Bagi ibu bapa yang punya kelebihan (unfair advantage), boleh memilih untuk menghantar ke sekolah persendirian atau swasta yang memenuhi keperluan pendidikan anak yang kita pilih sendiri.
Sama ada sekolah agama, madrasah, sekolah antarabangsa atau seumpamanya, kita pilih yang baik.


Akhir sekali, ibu bapa memilih.
Pengusaha memberikan pilihan-pilihan.

It does take a village to raise a child.
What is good, will be good.


- Noraminah Omar
11.30 pagi, Gombak.

Tuesday, October 10, 2017

PILIH TADIKA: Trend sekarang, lain.

Sudah menjadi kebiasaan, bulan Oktober begini, sudah tiba masanya kita buat keputusan penting. Sama ada menghantar anak ke tadika pilihan atau tidak. Sama ada hantar sekarang ATAU tahun hadapan. Sama ada mula ke tadika pada umur 4 tahun atau kemudian.

Bagi ibu-ibu, hal-hal macam ini penting. Kepentingan anak belajar dari awal, umpama satu perkara yang sudah wajib. Tidak menghantar anak seawal kawan-kawannya dan seperti ibu-ibu lain, boleh menjadi tekanan kepada kita.

Sama ada kita bekerja sepenuh masa, part time di rumah atau seumpamanya, mempunyai anak kecil berumur antara 4, 5 dan 6 tahun, memerlukan perancangan awal. Hakikatnya, keupayaan ekonomi keluarga kita, banyak yang perlu dipertimbangkan.

Benar, kita yang lebih tahu status dan tahap kesihatan kewangan keluarga kita. Kerja tambahan, tugas lebihan yang kita sanggup tanggung bebannya, perlu diselaraskan dengan keperluan diri sendiri, pasangan dan ahli keluarga yang lain. Lain keluarga, lain situasinya.

Kita mempunyai banyak pilihan. Namun, pilihan-pilihan itu, kita masih mahu yang terbaik dalam kapasiti diri, keluarga dan masyarakat hari ini. Sebagai seorang ibu, yang juga mengalami banyak situasi kewangan, pengurusan masa, emosi dan kesihatan fizikal diri dan keluarga, berikut adalah beberapa perkara yang saya dapati praktikal untuk dikongsikan bersama semua.

Tanpa mengira bangsa, bahasa, budaya dan latarbelakang keluarga, selamat berkongsi!

Tip memilih tadika #1:
Bawalah anak melawat Tadika itu.

Tip memilih tadika #2:
Buat family financial planning.
Semak bajet perbelanjaan untuk ‘tadika’.

Tip memilih tadika #3:
Bincang dengan pasangan, apa roadmap pendidikan anak dalam keluarga. Pilih tadika atau Program yang menyokong anak kita.

Tip memilih tadika #4:
Pendidikan masa hadapan, perlukan anak yang ada jati diri, ada kemahiran hidup.

Tip memilih tadika #5:
Pilihan mesti mendahulukan kepentingan anak, kemudian sesuaikan dengan kemampuan keluarga.

Tip memilih tadika #6:
Apabila tadika pilihan tidak mampu memenuhi roadmap pendidikan anak, sediakan tabung pendidikan untuk menampung keperluan tambahan anak.
.
Contoh: Kita mahu anak ada kemahiran main drum, tadika tiada program itu. Sediakan bajet, hantar ke kelas di pusat muzik.

Tip memilih tadika #7:
Pilih lokasi Tadika yang sesuai dengan keperluan anak dan juga kita ibu bapa. Ada yang perlu dikorbankan. Pilih ikut prioriti mengikut umur dan fasa perkembangan anak.
Contoh: 
Tadika bagus, tapi jauh. 
Tadika baik, tapi yuran luar bajet kita.
Tadika anak suka, tapi tidak memenuhi roadmap pendidikan anak.

Tip memilih tadika #8:
Pilih tadika yang ada banyak program memberi pendedahan kemahiran pelbagai untuk anak kita.  Lihat aktiviti tadika tahun sebelumnya dan semasa.

Tip memilih tadika #9:
Buat carian di internet. 
Baca dan semak 'recommendation'. 
Lawat sendiri tadika berkenaan.
Shop around with prior information in hand.
Yes, please do that.

Tip memilih tadika #10:
Apabila memilih tadika, pilihan kita bukanlah mutlak 
untuk sepanjang hayat. 
Bersedia dengan kemungkinan perlu menukar tadika.
Bersedia dengan kemungkinan memilih program lain.
Cari tadika yang ada pilihan 'program percubaan'.
The children is our main concern.
Let's be the best advocate for them.

Tip memilih tadika #11:
Kita bekalkan anak dengan kemahiran asas untuk tahap prasekolah.
Lihat program, kurikulum dan aktiviti di tadika.
Lihat Program pembangunan stafnya.
Terlalu banyak buku untuk anak di tadika, 
tidak menjamin perkembangan anak.

Tip memilih tadika #12:
10 tahun akan datang, anak kita memerlukan kemahiran yang tidak boleh digantikan dengan komputer. Pilih tadika yang ada program membina jati diri anak kita.

At the ned of the day, what we choose, is the best for such time and situation.
Kita berusaha, berdoa, dan serahkan semuanya kepada Allah.


Salam perjuangan buat semua ibu!


Noraminah Omar
8.32 malam, Kajang.



Saturday, September 30, 2017

Memupuk INTEGRITI dalam diri anak

INTEGRITI dalam diri anak:
“Saya akan lakukan apa yang saya kata, meskipun tiada sesiapa yang memerhati.”


Perkataan integriti kedengaran agak berat. Sama ada terjemahan atau pemahamannya, ia umpama satu perkataan besar yang dipikul hanya dalam organisasi besar dan pengurusan korporat.

Hakikatnya, ia adalah sifat alami bagi manusia. Semua orang ada ciri-ciri ini. Dengan dorongan, kebiasaan dan pengulangan yang kerap, ia akan menjadi sebahagian daripada diri kita.

Seringkali kita dipaparkan dengan filem dan drama yang menunjukkan banyak situasi yang menjadikan manusia hilang integriti. Pecah amanah, menipu, berbohong dan melakukan perkara buruk dalam banyak keadaan dan situasi.

Bermula dengan perkara rutin, kita semua mampu menjadikan integriti, sebagai budaya sejak kecil. Berikut ialah perkara awal yang boleh dilakukan di rumah dan di dalam kelas pembelajaran bersama anak-anak.

Nilai asas integriti ialah saya melakukan apa yang saya kata saya akan lakukan meskipun tiada sesiapa melihatnya.

Sebagai ibu bapa di rumah, kita punya banyak urusan. 
Malah, adakalanya, hal kerja terpaksa kita bawa balik untuk diselesaikan.

Latihan membina integriti dalam diri anak-anak, kita boleh mulakan dengan 3 ayat penyata utama yang kita terjemahkan dalam rutin dan budaya rumah tangga.


1.    “Saya akan melihat semula, membuka dan membaca buku di rumah.”

Lalukan ini, meskipun tiada sesiapa di rumah. Adakan waktu yang berbentuk rutin supaya anak-anak duduk di satu ruang untuk mereka membuka beg, dan melihat semua semua tugasan yang guru berikan.

Ada masanya, anak-anak tidak dapat membezakan yang mana tugasan, yang mana hanya perlu dibuat semakan. Biasakan dahulu. Lama-kelamaan, ia menjadi rutin. Tanpa perlu diberitahu, mereka akan lakukan.






2.    Saya akan membantu ibu bapa di rumah.

Berikan anak-anak peluang membantu di rumah. Adakalanya, mereka menyapu, tidak bersih. Tidak mengapa. Biar mereka sapu. Tidak bersih, kita sapu semula. Tunjukkan cara menyapu dengan betul.

Ada masanya, anak-anak kurang cekap dan lambat menyiapkan tugasan. Contohnya, mengangkat kain baju dari ampaian. Berilah masa secukupnya. Meskipun sambil bermain di luar, sambil mereka mengangkat kain, biarkan dahulu.

Tuanjukkan cara mengeluarkan pakaian daripada penyangkut baju dengan betul. Masukkan ke dalam bakul atau disusun mengikut keadaan yang sesuai di rumah kita.

Lama-kelamaan, apabila mereka sudah biasa, mereka akan tahu cara melakukannya secara efektif.





3.    Saya akan bercakap perkara yang baik-baik.

Biarkan anak-anak bersembang, bercakap, berbual-bual sesama mereka. Sesekali, biarkan mereka bising dan menjerit pada kadar yang sesuai.

Adakala mereka berbalah, menangis, merajuk dan marah antara satu dengan yang lain. Tanyakan sahaja, “Apa yang berlaku? Apakah yang menyebabkan adik menangis?”

Dengan soalan yang terus begitu sahaja, anak-anak cenderung memberi maklumat. Ya, kita didik anak untuk berikan maklumat, BUKAN alasan.

Sekiranya situasi biasa dan tidak bahaya, biarkan. Jika perlu, berikan solusi sahaja. Katakanlah mereka berebutkan buku, cadangkan solusi.”Ambil dahulu buku kuning. Biarkan adik baca buku merah.”
“Berilah adik rasa sedikit biskut itu. Jika habis, ambil yang lain dari bekas.”

Masuk campur hanya apabila keadaan bahaya atau tidak sesuai untuk keselesaaan semua.

Jika air tumpah, “Cepat ambil kain lap (atau mop). Lap dan mop.”

Jika pinggan pecah,”Cepat alihkan adik. Jangan pijak. Ambil penyapu, sapu semuanya masuk dalam penyodok sampah.” Keadaan bahaya, cepat-cepat bantu.

Suasana begini, memberi peluang anak-anak, terus selesaikan situasi. Tidak perlu berleter, usah diulas-ulas situasi itu.








Saturday, September 23, 2017

Jenis-jenis MAIN (play) yang mudah untuk guru di tadika dan ibu bapa di rumah.



Keperluan dan kepentingan anak-anak bermain sudah banyak dibincangkan. Maklumat mengenai MAIN untuk anak-anak dapat dibaca daripada banyak sumber juga.

Secara amnya, ada banyak jenis MAIN yang perlu diberikan kepada anak-anak. Malah, ianya menjadikan kita lebih kreatif dan anak-anak dapat meneroka banyak pengalaman baru.

Meskipun ada banyak perbincangan ilmiah dan kategori ‘play’ yang dibincangkan, tulisan ini merupakan satu maklumat ringkas untuk mereka yang bergelar ‘pengamal’.

Disertakan beberapa contoh mudah yang membolehkan kita sebagai pengamal bidang pendidikan awal kanak-kanak, terus mengaplikasikannya sama ada sebagai guru, pendidik atau ibu bapa di rumah.

Ada 12 jenis MAIN yang disarankan oleh pakar pendidikan.

1.     ‘Large-motor play’ – MAIN yang melibatkan pergerakan tubuh anak-anak secara keseluruhan. Berlari, melompat, main sorok-sorok, naik basikal, apa sahaja yang melibatkan anak kita menggerakkan bahagian badannya.

2.     ‘Small-motor play’ – MAIN yang biasanya  memerlukan anak berada di satu tempat. Ia melibatkan pergerakan kecil. Biasanya aktiviti ini hanya melibatkan pergerakan bahagian badna anak-anak dari pinggang ke atas,

Menyusun lego, bermain masak-masak adalah contoh mudah.

3.     ‘Mastery Play’ – MAIN yang memerlukan anak melakukannya berulang kali untuk menguasai pergerakan atau aktiviti itu.

Aktiviti ini melibatkan kemahiran tertentu. Contohnya, anak-anak belajar mengikat tali kasut, memasang butang baju. Ia perlu diulang untuk anak mahir.

4.     ‘Rules-based play’ – MAIN yang memerlukan anak-anak mematuhi satu peraturan yang juga melibatkan proses rundingan, perbincangan dan kerjasama.

Bagi anak-anak kita, permainan seperti ibu musang dan ayam, main dam adalah contoh mudah permainan dengan peraturan. Main sorok-sorok, kejar-kejar dan pelbagai jenis permainan tradisional, banyak ada dalam kategori ini.

5.     ‘Construction play’ – MAIN yang memerlukan anak-anak membina. Ini memerlukan kuasa imaginasi.

Paling mudah ialah bermain lego atau block. Bagi anak-anak, boleh sahaja kita bawa mereka bermain pasir dan membina daripada pasir.

6.     ‘Make-believe play’ – MAIN yang memerlukan anak acah-acah atau olok-olok menjadi atau melakukan sesuatau yang mereka imaginasikan.

Permainan ini sangat mudah dan fleksibel. Anak-anak gemar bermain dengan melakonkan semula situasi atau watak. Contoh, Emak memasak di rumah.  Pelayan restoran mengambil ‘order’. Dan banyak lagi.

7.     ‘Symbolic play’ – MAIN yang menggunakan bahan lain tetapi diimaginasikan sebagai perkara lain.

Ini juga permainan yang biasa anak-anak kita mainkan. Adakalanya, mereka menggunakan buku sebagai dulang. Mereka menggunakan kotak dan bakul sebagai kereta dan kapal terbang.

8.     ‘Language play’ – MAIN yang melibatkan penggunaan bahasa melalui lagu, pantun, syair, kuiz, teka-teki dan seumpamanya.

Permainan ini juga banyak dimainkan oleh anak-anak apabila mereka mula petah bercakap dan lancar dalam penggunaan sesuatu bahasa. Biasanya, setiap lagu atau ‘rhymes’ akan mereka bunyikan dengan gerakan tertentu.

Bagi anak-anak kita, permainan bertepuk tangan dengan ritma dan perkataan itu, merupakan salah satu ‘language play’ yang popular dikalangan anak-anak berumur 5- 12 tahun.

9.     ‘Playing with the arts’ – MAIN yang melibatkan semua jenis seni yang boleh diintegrasikan dalam aktiviti untuk menyatakan idea dan perasaan mereka. Contoh; ‘puppet show’

10. ‘Rough-and-tumble play’ – MAIN yang melibatkan gerakan lebih agresif, tanpa ada tujuan mencederakan orang lain.

Permainan ini biasa di kalangan anak-anak lelaki, terurama apabila mereka berada di kawasan padang dan luas. Adakalanya, apabila di rumah, dengan bilangan adik-beradik lebih daripada 2 orang, ‘rough-and-tumble play’ juga berlaku dalam bilik tidur atau ruang tamu.

11. ‘Risk-taking play’ – MAIN yang melibatkan kebebasan anak-anak memilih untuk mengambil risiko.

Contoh; memanjat ‘monkey bar’

Secara umumnya,  MAIN untuk anak-anak boleh kita sediakan di rumah dan di tadika atau pusat pembelajaran dengan mudah. Meskipun tanpa adanya alat-alat menilai keberkesanan MAIN kepada anak-anak, kita semua faham, yakin dan setuju, bahawa anak-anak berhak berMAIN.

Mengembalikan hak anak-anak merupakan salah satu tugas kita sebagai ‘advcocate’ dan pendokong kepada perkembangan anak-anak yang positif.



RUJUKAN: Edward Miller and Joan Almon; Crisis in the kindergarten: Why children need to play in school; College Park, MD:Alliance for Childhood, 2009.