INTEGRITI dalam diri anak:
“Saya akan lakukan apa yang saya kata,
meskipun tiada sesiapa yang memerhati.”
Perkataan integriti kedengaran agak berat.
Sama ada terjemahan atau pemahamannya, ia umpama satu perkataan besar yang
dipikul hanya dalam organisasi besar dan pengurusan korporat.
Hakikatnya, ia adalah sifat alami bagi
manusia. Semua orang ada ciri-ciri ini. Dengan dorongan, kebiasaan dan pengulangan yang kerap, ia akan menjadi sebahagian daripada diri kita.
Seringkali kita dipaparkan dengan filem dan
drama yang menunjukkan banyak situasi yang menjadikan manusia hilang integriti.
Pecah amanah, menipu, berbohong dan melakukan perkara buruk dalam banyak
keadaan dan situasi.
Bermula dengan perkara rutin, kita semua
mampu menjadikan integriti, sebagai budaya sejak kecil. Berikut ialah perkara
awal yang boleh dilakukan di rumah dan di dalam kelas pembelajaran bersama
anak-anak.
Nilai asas integriti ialah saya melakukan
apa yang saya kata saya akan lakukan meskipun tiada sesiapa melihatnya.
Sebagai ibu bapa di rumah, kita punya
banyak urusan.
Malah, adakalanya, hal kerja terpaksa kita bawa balik untuk
diselesaikan.
Latihan membina integriti dalam diri
anak-anak, kita boleh mulakan dengan 3 ayat penyata utama yang kita terjemahkan
dalam rutin dan budaya rumah tangga.
1. “Saya akan melihat semula,
membuka dan membaca buku di rumah.”
Lalukan ini, meskipun
tiada sesiapa di rumah. Adakan waktu yang berbentuk rutin supaya anak-anak
duduk di satu ruang untuk mereka membuka beg, dan melihat semua semua tugasan
yang guru berikan.
Ada masanya, anak-anak
tidak dapat membezakan yang mana tugasan, yang mana hanya perlu dibuat semakan.
Biasakan dahulu. Lama-kelamaan, ia menjadi rutin. Tanpa perlu diberitahu,
mereka akan lakukan.
2. Saya akan membantu ibu
bapa di rumah.
Berikan anak-anak peluang
membantu di rumah. Adakalanya, mereka menyapu, tidak bersih. Tidak mengapa.
Biar mereka sapu. Tidak bersih, kita sapu semula. Tunjukkan cara menyapu dengan
betul.
Ada masanya, anak-anak
kurang cekap dan lambat menyiapkan tugasan. Contohnya, mengangkat kain baju
dari ampaian. Berilah masa secukupnya. Meskipun sambil bermain di luar, sambil
mereka mengangkat kain, biarkan dahulu.
Tuanjukkan cara
mengeluarkan pakaian daripada penyangkut baju dengan betul. Masukkan ke dalam bakul
atau disusun mengikut keadaan yang sesuai di rumah kita.
Lama-kelamaan, apabila
mereka sudah biasa, mereka akan tahu cara melakukannya secara efektif.
3. Saya akan bercakap perkara
yang baik-baik.
Biarkan
anak-anak bersembang, bercakap, berbual-bual sesama mereka. Sesekali, biarkan
mereka bising dan menjerit pada kadar yang sesuai.
Adakala mereka
berbalah, menangis, merajuk dan marah antara satu dengan yang lain. Tanyakan
sahaja, “Apa yang berlaku? Apakah yang menyebabkan adik menangis?”
Dengan soalan
yang terus begitu sahaja, anak-anak cenderung memberi maklumat. Ya, kita didik
anak untuk berikan maklumat, BUKAN alasan.
Sekiranya
situasi biasa dan tidak bahaya, biarkan. Jika perlu, berikan solusi sahaja. Katakanlah
mereka berebutkan buku, cadangkan solusi.”Ambil dahulu buku kuning. Biarkan
adik baca buku merah.”
“Berilah adik
rasa sedikit biskut itu. Jika habis, ambil yang lain dari bekas.”
Masuk campur
hanya apabila keadaan bahaya atau tidak sesuai untuk keselesaaan semua.
Jika air tumpah,
“Cepat ambil kain lap (atau mop). Lap dan mop.”
Jika pinggan
pecah,”Cepat alihkan adik. Jangan pijak. Ambil penyapu, sapu semuanya masuk
dalam penyodok sampah.” Keadaan bahaya, cepat-cepat bantu.
Suasana begini,
memberi peluang anak-anak, terus selesaikan situasi. Tidak perlu berleter, usah
diulas-ulas situasi itu.
