Noraminah Omar

Tuesday, December 16, 2014

TIP Khas untuk Bapa : Apabila Anak Masuk Tadika



Ramai yang menulis dan memberikan tips dan sokongan buat ibu. Sebenarnya, peranan bapa adalah 
sama besar dalam perkembangan anak-anak.

Apakah yang boleh dilakukan oleh bapa dan seorang suami kepada ibu yang sibuk mengurus dan menyediakan anak-anak untuk masuk ke tadika buat pertama kali?

Sama ada anak pertama, kedua atau ketiga, mereka tetap mengalami fasa peralihan untuk kemasukan ke tadika.

Berikut adalah antara beberapa perkara mudah:

1.  Luangkan masa berbincang bersama isteri tentang pemilihan tadika. 

Ada 2 perkara utama.

a.     Keperluan anak

Apakah tahap perkembangan anak kita itu? Apakah kemahiran sosialnya sudah mencukupi?

Sekiranya anak kita itu anak tunggal dan kurang pendedahan sosial, tadika dengan kapasiti kecil mungkin menjadi pilihan.

Sekiranya anak kita itu masih memerlukan bantuan ke tandas dan masih memakai diapers, saiz kelas yang kecil dengan ‘ratio’ guru: murid kecil adalah lebih sesuai.

Sekiranya kita sebagai ibu bapa mendapati bahawa kita boleh bertoleransi dengan banyak perkara yang melibatkan tumpuan guru kepada anak kita bersifat sederhana, tadika dengan kapasiti murid yang besar tidak menjadi masalah.

b.     Kemampuan dan bajet

Duduk dan bincangkan bersama ibu tentang bajet dan kemampuan bapa.  Sama ada ibu bekerja di luar atau ibu bekerja di rumah, ia masih perlu dibincangkan.

Apabila ibu bekerja yang bersedia untuk menggalas sebahagian daripada perbelanjaan pendidikan anak, ia adalah bonus.

Sebagai contoh, ada ramai ibu yang bekerjaya yang setuju untuk membayar semua yuran pusat jagaan sahaja. Yuran pembelajaran tadika termasuk kos pengangkutan diserahkan kepada bapa.

Ada sebahagian ibu dan bapa pula bersetuju untuk membahagikan perbelanjaan penjagaan dan pendidikan anak mengikut bilangan anak.  Contoh, pembayaran semua yuran anak pertama ibu yang uruskan manakala anak kedua bapa yang uruskan.

Yang pasti, bapa mesti berbincang perkara sebegini dengan baik untuk memastikan kelancaran proses pembelajran anak-anak untuk setahun.

Khidmat Tadika adalah berbentuk ‘yearly subscription’, untuk membolehkan anak belajar melalui satu proses yang lengkap.

2. Bertuah apabila punya masa terluang untuk sama-sama melawat tadika.

Jika tidak, dapatkan maklumat penuh daripada anak dan isteri apabila mereka selesai melawat tadika.

Apabila bapa dalam situasi sibuk, gunakanlah komunikasi berhubung terkini yang boleh digunakan seperti ‘google hangout’.

3. Hadir bersama untuk sesi penerangan yang dijalankan oleh pihak tadika.

Adalah menjadi kebiasaaan untuk pihak tadika mengadakan sesi penerangan kepada ibu bapa setiap kali tahun baru pembukaan tadika. Meskipun kita suadh biasa dengan tadika itu, kehadiran kita juga penting, apatah lagi jikalau tadika itu pertama kali untuk kita.

Tadia akan mempunyai banyak maklumat baru untuk setiap tahun baru persekolahan. Kehadiran bapa akan dapat memberi kesan kepada ibu dan anak-anak.

4. Membantu isteri dalam proses menyediakan anak ke tadika.

            a. Persediaan emosi

Bantu ibu mendidik dan menyediakan anak-anak untuk suasana tadika
      kelak. (Rujuk artikel tentang 7 Tip Menyediakan Anak ke Tadika)

b.     Persediaan fizikal

Bantu ibu memilih barangan yang diperlukan untuk ke tadika seperti beg dan kasut sekolah.

Pada waktu pagi, dalam situasi sibuk, bapa boleh memberi sokongan dengan membantu perkara ringkas seperti membantu melayan anak-anak bersarapan.

5. Sediakan wang pembayaran yuran tepat pada masanya.

Sama ada secara tunai, online atau bayaran dengan menggunakan cek, bapa dapat memberikan sokongan dengan menyediakannya tepat pada masa. Dengan ini, ibu juga dapat mengurangkan tekanan yang datang secara tidak langsung akibat pembayaran yuran yang lewat.

Adakalanya, ibu juga segan untuk berhadapan dengan cikgu dan pengurusan tadika apabila yuran tadika dibayar lewat.

Walaupun begitu, apabila ada kelewatan, bapa mestilah bertanggungjawab memaklumkan lebih awal agar urusan ini dapat ibu selesaikan dengan baik dengan pihak sekolah.


Sekiranya, bapa dan ibu mengambil keputusan untuk membahagikan tugas, iaitu tugas pembayaran yuran adalah di bawah kuasa bapa sepenuhnya, maka bapa boleh terus berurusan dengan pihak sekolah.

Hakikatnya, ketepatan masa membuat pembayaran adalah antara salah satu perkara besar yang membantu pihak tadika memastikan pengurusan mereka dijaga dengan baik.


Monday, December 15, 2014

7 TIP PERSEDIAAN MENGHANTAR ANAK KE TADIKA



Pengalaman pertama menghantar anak ke tadika adalah lebih hebat daripada pengalaman anak yang pertama kali ke tadika. Ada sesetengah daripada kita, ibu bapa, tanpa sedar mengalirkan air mata semasa meninggalkan mereka di pagar tadika.

Lalu, apakah persediaan yang sesuai untuk memastikan anak-anak dan ibu bapa melalui fasa perpisahan ini dengan baik dan tenang?

Berikut adalah beberapa perkara asas. Namun, apabila proses persediaan ini melalui fasa kelansungannya, ia memerlukan tatacara lain untuk diteruskan.


1. Biasakan anak-anak dengan rutin.

Rutin adalah permulaan kepada disiplin. Tadika mempunyai rutin da nada disiplin yang tertentu. Asasnya, merka punya jadual. Ada masa untuk aktiviti tertentu, ada masa rehat.

Anak-anak yang biasa dengan rutin akan dapat mengikuti suasana tadika dengan lebih mudah. Anak-anak akan boleh membezakan keperluan dan kehendak mereka dalam kerangka struktur pembelajan di tadika.

Meskipun banyak jadual tadika disusun secara fleksible, mereka masih ada rutin yang khusus dan mesti diikuti.

Tanpa rutin ini, perkembangan anak-anak akan sukar dijejak.
Maka, biasakan anak-anak dengan rutin. Seringkas, setiap kali masuk ke rumah, buka kasut. Susun di rak.

2. Berikan anak-anak pendedahan berada dalam situasi tanpa ibu bapa dan ahli keluarga.

Ambil peluang untuk memberikan masa yang cukup panjang untuk anak-anak berada dalam suasana tertentu tanpa kehadiran kita sebagai ibu bapa atau ahli keluarga lain. Sekiranya anak kita biasa dijaga oleh pembantu rumah, lebih lagi keperluan ini.

Pastikan anak dibiarkan berada dalam situasi itu tanpa kehadiran kita, ahli keluarga atau pembantu rumah.

Apakah antara caranya?

+ cuba tinggalkan anak semala 1 jam bermain di rumah jiran
+ biarkan anak berada di pusat seni atau lukisan
+ pantau dari jauh apabila anak-anak bermain di taman bersama kanak-kanak lain dalam keadaan selamat
+ biarkan anak bermain dengan kawan baru dengan jarak yang agak jauh (masih dalam jarak pandangan) semasa berada di rumah saudara mara.

Anak-anak yang boleh berpisah dengan ibu bapa dan keluarga akan dapat membuat keputusan-keputusan kecil untuk dirinya.

3. Bawa anak-anak mengalami suasana bersosial dengan kanak-kanak lain yang tidak mereka kenali

Biasakan anak-anak berjumpa dengan melihat tingkah laku kanak-kanak lain yang berbeza dengan mereka. Apabila membawa anak-anak keluar ke pasaraya atau restoran luar, berikan masa untuk anak-anak melihat sekeliling. Berikan mereka panduan.

Contoh:
Apabila seorang kanak-kanak menangis berguling-guling di pasaraya, dan anak kita melihatnya, diam sahaja. Selepas itu, dalam Susana yang lebih tenang, bercakaplah dengan anak-anak.

“Apabila Haziq, penat atau perlukan sesuatu, beritahu saja Abah. Cakap baik-baik, tidak perlu memangis. Boleh?”

Anak-anak pasti akan bertanya lagi. Jawab dan beri panduan. Ringkas, beri satu persatu.


4. Dedahkan dengan anak-anak cara menerima arahan dan bercakap dengan individu lain yang diberikan autoritinya.

Ambil situasi ini sebagai contoh.
Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke klinik, beritahu kepada anak untuk bercakap dan menjawab soalan doktor. Anak-anak akan faham bahawa doktor ialah ‘kawan’ ibu yang bukan orang asing.

Kelak, apabila anak-anak berada di tadika, mereka juga akan faham bahawa mereka mesti bercakap dan berkomunikasi dengan guru. Guru juga adalah ‘kawan’ ibu.

Anak-anak yang tidak bercakap atau memberitahu keperluan mereka kepada guru di tadika menjadi salah satu punca utama yang menyebabkan guru menjadi sukar untuk membantu anak-anak di dalam kelas.

5. Kenalkan kepada anak-anak cara  memberi dan menerima.

Apabila membawa anak-anak keluar menziarah atau mengunjungi rakan serta saudara mara, beritahu mereka apakah cara yang diterima untuk tujuan ini.

Contoh:

Apabila kita perlu mengggunakan tandas di rumah saudara kita itu:

“Boleh saya gunakan tandas?”

Apabila kita perlukan segelas air kosong:
“Boleh saya minta segelas air kosong?”


6. Biasakan anak-anak dengan suasana ramai dan bising.

Ramai anak-anak yang pertama kali datang ke tadika mendapati suasana tadika tidak seronok. Bising, ramai dan adakalanya mereka mengadu sesak.

Lantaran mereka biasa tinggal di rumah yang luas dan mempunyai bilik individu, berkongsi bilik pembelajaran dengan 7 orang kanak-kanak lain saja sudah cukup sesak bagi mereka.

Sebaiknya, bantu anak-anak bersedia untuk duduk di dalam kumpulan yang agak besar dalam satu ruang . Beritahu mereka cara untuk mengendalikan diri apabila berada dalam ruang yang sama dengan ramai orang.

Ajarkan cara agar mereka dapat menyesuaikan diri dalam situasi itu.

Contoh:
Apabila duduk dalam kumpulan, elakkan bergerak dengan gerakan lasak. Sebaiknya duduk. Apabila perlu berdiri,perlahan-lahan usah tergesa-gesa. Lihat kiri dan kanan. Jikalau ada orang lain, langkah berjalan dengan berhati-hati.

Apabila bercakap, tunggu giliran. Bercakap dengan perlahan, melainkan apabila diminta bercakap dengan kuat.

Perkara ini boleh sahaja ibu bapa terangkan apabila mengadiri majlis kenduri kahwin. Ruang dan peluang pembelajaran ini sangat luas. Tiada batasnya.

7. Bantu anak bina percaya diri yang tinggi.

Anak-anak mesti dibantu untuk menerima diri dan persekitaran dengan baik. Yakin dengan diri dan boleh merima orang lain adalah satu proses pembelajaran yang panjang.

Pastinya, ia mesti bermula dari rumah.

Antara cara biasa yang boleh dilakukan:

+ tidak membandingkan anak dengan anak orang lain
+ memuji kelakuan dan tingkahlaku anak-anak yang memberi kesan positif di hadapan adik beradik atau ahli keluarga
+ pastikan anak memahami akan perbezaan keperluan dan kehendak.
Contohnya, membeli beg sekolah ialah keperluan. Beg sekolah berjenama itu kehendak.

Cara ringkas ini membantu anak-anak mempunyai daya percaya yang tinggi,. Anak-anak tadika yang mempunyai keyakinian diri akan lebih mudah menyesuaikan diri di tadika.

Antara yang mereka tunjukkan di tadika ialah:

+ tidak irihati dan mengambil barang kepunyaan kanak-kanak lain
+ duduk bersama dengan selesa tidak mengira kumpulan
+ mampu mengikut rutin di dalam kelas dengan selesa
+ bertanya dan memberitahu keperluan diri kepada guru


Sunday, October 5, 2014

Bermula dengan Diri

Apa yang berlaku seharian adalah perkara yang berbeza bagi sebuah keluarga dengan keluarga yang lain. Apa yang dialami oleh sorang ibu tidak sama dengan ibu yang lain.

Ada ibu yang punya ruang membuat pilihan yang banyak. Manakala, ada ibu yang hanya dapat memilih sedikit pilihan. Yang pasti, setiap ibu membuat pilihan masing-masing.

Saya sendiri banyak membuat pilihan. Membuat pilihan yang bermula seawal memilih masuk ke sekoleh berasrama, sehinggalah pilihan-pilihan besar yang melibatkan suami, 5 orang anak dan 4 orang anak tiri.

Rakan-rakan ibu di luar sana juga, membuat pilihan dan membuat keputusan setiap hari. Namun, apabila mempunyai tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak, tugas lain masih tetap digalas sama.


Ya, tugas sebagai anak, adik, kakak atau abang dan kawan. Bagi mereka yang bekerja, ada tugas tambahan sebagai pekerja, majikan atau supervisor.

Sama ada ibu yang bekerja di luar atau di rumah, mereka mempunyai cabaran masing-masing. Pada kebanyakan masa, cabaran emosi adalah yang paling mencabar berbanding cabarana tugas di rumah atau kerja itu sendiri.

Ya, semuanya bermula dengan diri. Ada rakan yang berkongsi cerita. Tentang penat dan peritnya bekerja. Kisah luka hati, duka dan nestapa. Pejabat menjadi ruang merehatkan jiwa. Banyak perkara di rumah dan keluarga. Banyak yang mahu dilupakan buat seketika. Namun, rumah itu tetap sebuah syurga.

Sebagai ibu bekerja atau ibu bekerja di rumah, ia juga adalah pilihan.

1. Keseimbangan itu memerlukan kita mengambil dan melepaskan sesuatu dalam masa yang sama.

2. Tiada siapa yang akan membantu diri kita, selagi kita tidak mengambil langkah berani, tanpa emosi.

3. Memilih memerlukan kita mengambil risiko yang paling rendah atau mudharat yang lebih kecil.

4. Pelaburan itu perlu, mesti dibuat ke atas diri sendiri.

5. Boleh. Banyak perkara yang sukar, tetapi mesti dilakukan.

6. Tiada sesiapa yang boleh melalui apa yang kita lalui.
Kekuatan kita, tidak perlu diketahui orang, ia ketahuan dengan sendiri.

Semuanya bermula dengan diri kita sendiri.

Selamat berjuang ibu-ibu!
.

Friday, September 26, 2014

Berkongsi Cerita

Berkongsi itu ada banyak caranya.

Bagi mereka yang petah berbicara, mereka banyak bercerita.
Bagi mereka yang punya bakat seni melukis, mereka berkongsi atas kanvas lukisa.
Bagi mereka yang indah berbahasa melalui tulisan, mereka menulis.

Anak-anak?
Ya. Mereka juga banyak berkongsi hanya apabila mengetahui caranya.

Apakah antara cara memberi pengalaman kepada anak-anak untuk berkongsi?

Salah satunya, BERKONGSI CERITA.

+ GALAKKAN anak bercerita dengan bertanyakan soalan berbentuk 'open-ended'. Soalan yang tidak mempunyai jawapan ya atau tidak, betul atau salah.

+ DENGAR sahaja apabila anak bercerita sambil memberikan tumpuan dengan melihat tepat kepadanya, mengganggukkan kepala dan sesekali bertanya soalan.

+ BERI cukup masa untuk anak-anak puas bercerita.

Selamat berkongsi!

Berkongsi cerita dengan sebuah buku.

Monday, September 1, 2014

Merdeka dan Memerdekakan

Hujung minggu kali ini memang panjang.

Seawal Sabtu hinggalah selewat Isnin petang, Ibu pasti bersama anak-anak dan keluarga.
Ya, meskipun ada rakan yang masih terus melaksanakan tugas hakiki di luar sana, jiwa dan rasa masih pasti ada bersama keluarga.

Merdeka?
Apakah yang kita ceritakan kepada anak-anak? Sekecil beberapa bulan sehinggalah kepada mereka yang masih dalam jagaan.

Anak-anak ini mahu mendengar. Apa yang kita katakan mesti ada kaitan. Barulah mereka melihatnya dengan satu makna.

Anak-anak, merdeka itu apa?
Dengarlah kata dari mulut kecil mereka. Pasti banyak yang bercerita.

Lantas kita juga melihat semula. Perlukah kita memerdekakan anak-anak kita?

Merdekakan mereka dengan peluang:

+ mendapat maklumat yang betul
+ mendapat maklumat baru
+ melihat alam yang luas terbentang
+ untuk berdikari
+ untuk mempelajari.

Merdekakan anak kita dengan kemahiran menerima maklumbalas, kritikan dan emosi negatif dari dunia.

Merdekakan anak kita dengan pujian yang kemas, betul dan kena pada tempatnya untuk membina percaya diri yang tinggi.

Merdekakan anak kita dengan kekuatan bakat yang sedia ada.

Merdekakan anak kita  dengan mengajarkan mereka erti sebenar menangguhkan kepuasan. 

Merdekakan anak kita dengan memahamkan mereka erti pelaburan. Melaburkan masa, wang dan tenaga untuk ilmu baru dan kemahiran baru.

Ajarkan, agar kita dapat memerdekakan mereka, anak kita.
Ajarkan, agar mereka tidak menjadi hamba yang membiaya nafsu semata-mata.

Salam merdeka, buat ibu-ibu!

.

Sunday, August 24, 2014

TIP buat IBU : Titipan Khas

Banyak nasihat dan tip kepada ibu dikongsikan. Supaya ibu lebih bertenang dan kurang mendapat kesan tekanan. Luangkan masa untuk anak-anak. Pulang dari bekerja, ambil masa. Bercakap dahulu dengan anak-anak.

Hakikatnya, ramai ibu-ibu yang melalui putaran. Ada masanya, semua nasihat dan tip ini memang dipraktikkan. Pada kebanyakan masa lain pula, ia sangat sukar menjadi kenyataan.

Ibu yang masih berada dlam lingkungan umur 25-35 tahun melalui putaran yang berbeza daripada ibu yang berumur 35 tahun ke atas. 

Ada beberapa perkara yang mugkin perlu ditambah dalam senarai ini. Sama ada ibu bekerja di pejabat atau bekerja di rumah, masing-masing ada bahagian tekanan dan kegembiraannya.

Ya, Setiap ibu itu unik. Setiap keluarga itu istimewa. Beberapa perkara berikut, mungkin boleh ibu titipkan bersama dalam senarai tip dan panduan sedia ada.


Semak semula:

1. Jadual rutin harian

Apakah jadual rutin harian ibu tetap sama dalam 30 hari?
Apakah ada aktiviti dan masa terluang hanya untuk ibu bersendiri?
Apakah ibu masih bertemu dengan rakan dan duduk minum kopi walau hanya sekali dalam sebulan?
Bilakah kali terakhir ibu membelikan diri sendiri sepasang baju atau sepasang kasut?
Bilakah kali terakhir ibu tidur selain dari di dalamkamar tidur ibu di rumah?

2. Pola pemakanan ibu

Apakah ibu mengambil makanan berkhasiat?
Cukupkah pengambilan air (minum) dalam sehari?
Ibu hanya banyak makan pada waktu malam sahajakah?
Apakah ibu masih punya budaya menghabiskan semua lebihan makanan anak dan suami?

3. Pengambilan ubat

Apakah ibu mengambil sebarang vitamin tambahan?
Apakah ibu masih mengambil pil hormon (pil perancang) dalam usia selepas 35 tahun?
Apakah ibu mengambil ubatan tambahan dengan nasihat doktor?

4. Pemeriksaan kesihatan

Apakah ada masanya ibu cepat marah dan sukar mengawalnya?
Apakah ada masanya sehingga ibu tertidur tanpa sedar semasa memandu?
Bilakah kali terakhir ibu melakukan pemeriksaan kesihatan?
Apakah ibu ada pergi bertemu doktor gigi?
Apakah perlu ibu membuat pemeriksaan darah?



Sempena meraikan hari kemerdekaan yang bakal menjelang, 'merdeka'kanlah diri dengan keperluan yang seringkali kita terlepas pandang.



Selamat berjuang ibu!
.

Saturday, August 23, 2014

HUJUNG MINGGU YANG BIASA

Anak-anak mempunyai rutin hujung minggu yang berbeza.

Ada anak-anak yang banyak menghabiskan hujung minggu dengan pulang ke rumah datuk dan nenek. Bagi mereka yang mempunyai datuk dan nenek yang tinggal berdekatan, adakalanya itulah rutin hujung minggu. Ada yang keluar bercuti. Malah, ada juga anak-anak yang menghadiri kelas tambahan.

Apa juga aktiviti pilihan keluarga dan anak-anak, ia merupakan cara yang baik untuk bersama seisi keluarga.

Bagaimana dengan keluar dan bermain di taman?
Apakah itu pilihan juga?

Ya. Keluar ke taman atau padang permainan adalah antara pilihan yang ringkas dan menjimatkan. Ada banyak taman permainan yang berdekatan dengan kawasan perumahan yang boleh dipilih.

Anak-anak boleh saja bermain dengan gembira di kawasan yang luas. Paling tidak duduk-duduk dan menghayati keindahan alam sambil makan snek yang disediakan di rumah.

Sebiji bola juga boleh menjadi satu kegembiraan tanpa batas bagi seorang anak apabila berada di taman.

Hujung minggu, adalah hari kelepasan bagi keluarga dan anak-anak.
Pilihan yang biasa tiak semestinya memakan kos yang tinggi.

Rancangkan yang mudah. Ringkas dan gembira.



Selamat berhujung minggu!
.

Tuesday, August 12, 2014

Sedikit tetapi Banyak

Menabung dan menyimpan adalah perkataan yang biasa kita gunakan untuk menggalakkan anak-anak, malah diri sendiri untuk menyimpan.

Selalu juga kita sebut, menabung untuk hari tua. Tabungan untuk orang dewasa seperti kita yang bekerja ada dilakukan tanpa sedar melalui potongan gaji, KWSP.

Namun, bagi kanak-kanak, apakah perkataan yang sesuai digunakan untuk mendorong mereka menabung dan menyimpan?

Perkataan yang sama masih digunakan, tidak ada masalah. Beberapa perkara berikut dapat membantu mendorong anak-anak kecil belajar menabung dan menyimpan.

Bermula dengan aktiviti menabung sebagai asasnya.
Satu persatu.
Cara mahu mengembangkan duit pula diceritakan kemudian.


+ Mulakan dengan yang mudah

Bagi anak-anak yang sudah bersekolah tadika atau sekolah rendah, bolehlah memulakan tabungan dengan nilai yang kecil. 10 sen atau 50 sen sehari juga memadai bergantung kepada jumlah duit poket yang mereka terima.

Anak tadika boleh dimulakan dengan memberi mereka 20 sen sehari sebagai elaun tabungan.

+ Lakukan bersama

Aktiviti menabung ini apabila dilakukan secara bersama akan memberikan kesan yang menarik. Apabila anak-anak mempunyai adik-beradik yang ramai, ibu bapa boleh memantau sahaja.

Namun, sekiranya anak tunggal, sokongan ibu bapa menjalankan aktiviti menabung secara bersama adalah perlu.

+ Jadikannya menarik

Sediakan tabung yang unik. Tidak semestinya mahal. Bermula dengan apa saja bentuk tabung yang sesuai untuk anak-anak.


+ Jadikannya seronok

Berikan KPI tabungan.

Mulakan dengan bercerita apakah nilai yang dapat dikumpulkan dalam masa 20 hari. Tunjukkan kepada anak-anak dalam bentuk visual dan terangkan.

Contoh:
10 sen sehari
20 hari = 20 x 10 = 200 sen sebulan.
200 sen = 2 ringgit.

Kita akan dapat 10 ringgit pada bulan Disember apabila kita mula menabung dalam bulan Ogos ini.

Sebutkan sahaja meskipun kita tidak pasti mereka faham atau tidak.
Anak-anak akan bertanya. Tunjukkan lagi.

+ Jadikannya mendorong dengan sendiri

Berikan pilihan untuk anak merancang perbelanjaan wang itu.

Anak-anak diberikan sasaran bagaimana untuk membelanjakan wang itu.

***

Apabila tiba pada situasi ini kelak, kita akan susunkan aktiviti untuk anak-anak faham keperluan terus menyimpan dan disulami dengan sedikit kemahiran untuk mengembangkan duit itu nanti.

Ya.

Satu persatu, untuk anak-anak memahaminya.
Apabila anak mula bertanya dan bersedia, boleh diajarkan terus.

.

Thursday, August 7, 2014

Berkongsi : Ada cara dan hadnya

Salah satu kemahiran bersosial yang diajarkan seawal pembelajaran di tadika ialah konsep berkongsi. Susunan suasana pembelajaran itu sendiri membolehkan anak kecil belajar konsep berkongsi secara tidak langsung.

1. Ruang penyimpanan 

Anak-anak perlu menyusun kasut di rak khas yang disediakan. Malah ada tadika yang menyediakan ruang khas untuk anak-anak menyimpan beg dan barang masing-masing. Anak-anak belajar berkongsi ruang bersama-sama.

2. Bahan pembelajaran

Anak-anak perlu berkongsi buku cerita, alat-alat kraf dan bahan pembelajaran lain. Dalam situasi ini, susunan begini dibuat dengan senagaja agar anak-anak dapat belajar menghormati hak orang lain atas perkara atau barang yang sama.

Meskipun ada ibu bapa yang kurang menggemarinya (mereka mahu anak mereka menerima yang terbaik dengan mempunyai set persendirian), kebanyakan pengusaha dan pendidik awal kanak-kanak masih mengamalkan konsep ini.

Hasil pembelajaran itulah yang dilihat penting daripada proses ringkas ini.


3. Fasiliti dalam tadika

Anak-anak juga diberikan peluang untuk berkongsi semasa menggunakan fasiliti di tadika.

Tandas, sinki dan tempat bermain adalah antaranya.

Ya, berkongsi perlu ada bimbingan. Bukan semua boleh dikongsikan, dan berkongsi ada tatacaranya.



Berikut adalah antara yang ringkas:

1. Mendapat keizinan daripada tuan punya ATAU orang yang bertanggungjawab atas barang atau perkara itu.

2. Tidak melanggar peraturan dan adab susila setempat. (Tadika berlainan , malah kelas yang berbeza mempunyai budaya yang berbeza)

3. Menjaga keselamatan bersama.

Perkongsian botol minuman tidak digalakkan. Ia boleh menyebabkan virus selsema (atau yang berkenaan) tersebar dengan lebih cepat. Anak-anak boleh berkongsi dengan menuang air dalam cawan dan minum dengan cawan bersih yang berbeza.

.