Noraminah Omar

Monday, December 15, 2014

7 TIP PERSEDIAAN MENGHANTAR ANAK KE TADIKA



Pengalaman pertama menghantar anak ke tadika adalah lebih hebat daripada pengalaman anak yang pertama kali ke tadika. Ada sesetengah daripada kita, ibu bapa, tanpa sedar mengalirkan air mata semasa meninggalkan mereka di pagar tadika.

Lalu, apakah persediaan yang sesuai untuk memastikan anak-anak dan ibu bapa melalui fasa perpisahan ini dengan baik dan tenang?

Berikut adalah beberapa perkara asas. Namun, apabila proses persediaan ini melalui fasa kelansungannya, ia memerlukan tatacara lain untuk diteruskan.


1. Biasakan anak-anak dengan rutin.

Rutin adalah permulaan kepada disiplin. Tadika mempunyai rutin da nada disiplin yang tertentu. Asasnya, merka punya jadual. Ada masa untuk aktiviti tertentu, ada masa rehat.

Anak-anak yang biasa dengan rutin akan dapat mengikuti suasana tadika dengan lebih mudah. Anak-anak akan boleh membezakan keperluan dan kehendak mereka dalam kerangka struktur pembelajan di tadika.

Meskipun banyak jadual tadika disusun secara fleksible, mereka masih ada rutin yang khusus dan mesti diikuti.

Tanpa rutin ini, perkembangan anak-anak akan sukar dijejak.
Maka, biasakan anak-anak dengan rutin. Seringkas, setiap kali masuk ke rumah, buka kasut. Susun di rak.

2. Berikan anak-anak pendedahan berada dalam situasi tanpa ibu bapa dan ahli keluarga.

Ambil peluang untuk memberikan masa yang cukup panjang untuk anak-anak berada dalam suasana tertentu tanpa kehadiran kita sebagai ibu bapa atau ahli keluarga lain. Sekiranya anak kita biasa dijaga oleh pembantu rumah, lebih lagi keperluan ini.

Pastikan anak dibiarkan berada dalam situasi itu tanpa kehadiran kita, ahli keluarga atau pembantu rumah.

Apakah antara caranya?

+ cuba tinggalkan anak semala 1 jam bermain di rumah jiran
+ biarkan anak berada di pusat seni atau lukisan
+ pantau dari jauh apabila anak-anak bermain di taman bersama kanak-kanak lain dalam keadaan selamat
+ biarkan anak bermain dengan kawan baru dengan jarak yang agak jauh (masih dalam jarak pandangan) semasa berada di rumah saudara mara.

Anak-anak yang boleh berpisah dengan ibu bapa dan keluarga akan dapat membuat keputusan-keputusan kecil untuk dirinya.

3. Bawa anak-anak mengalami suasana bersosial dengan kanak-kanak lain yang tidak mereka kenali

Biasakan anak-anak berjumpa dengan melihat tingkah laku kanak-kanak lain yang berbeza dengan mereka. Apabila membawa anak-anak keluar ke pasaraya atau restoran luar, berikan masa untuk anak-anak melihat sekeliling. Berikan mereka panduan.

Contoh:
Apabila seorang kanak-kanak menangis berguling-guling di pasaraya, dan anak kita melihatnya, diam sahaja. Selepas itu, dalam Susana yang lebih tenang, bercakaplah dengan anak-anak.

“Apabila Haziq, penat atau perlukan sesuatu, beritahu saja Abah. Cakap baik-baik, tidak perlu memangis. Boleh?”

Anak-anak pasti akan bertanya lagi. Jawab dan beri panduan. Ringkas, beri satu persatu.


4. Dedahkan dengan anak-anak cara menerima arahan dan bercakap dengan individu lain yang diberikan autoritinya.

Ambil situasi ini sebagai contoh.
Apabila ibu bapa membawa anak-anak ke klinik, beritahu kepada anak untuk bercakap dan menjawab soalan doktor. Anak-anak akan faham bahawa doktor ialah ‘kawan’ ibu yang bukan orang asing.

Kelak, apabila anak-anak berada di tadika, mereka juga akan faham bahawa mereka mesti bercakap dan berkomunikasi dengan guru. Guru juga adalah ‘kawan’ ibu.

Anak-anak yang tidak bercakap atau memberitahu keperluan mereka kepada guru di tadika menjadi salah satu punca utama yang menyebabkan guru menjadi sukar untuk membantu anak-anak di dalam kelas.

5. Kenalkan kepada anak-anak cara  memberi dan menerima.

Apabila membawa anak-anak keluar menziarah atau mengunjungi rakan serta saudara mara, beritahu mereka apakah cara yang diterima untuk tujuan ini.

Contoh:

Apabila kita perlu mengggunakan tandas di rumah saudara kita itu:

“Boleh saya gunakan tandas?”

Apabila kita perlukan segelas air kosong:
“Boleh saya minta segelas air kosong?”


6. Biasakan anak-anak dengan suasana ramai dan bising.

Ramai anak-anak yang pertama kali datang ke tadika mendapati suasana tadika tidak seronok. Bising, ramai dan adakalanya mereka mengadu sesak.

Lantaran mereka biasa tinggal di rumah yang luas dan mempunyai bilik individu, berkongsi bilik pembelajaran dengan 7 orang kanak-kanak lain saja sudah cukup sesak bagi mereka.

Sebaiknya, bantu anak-anak bersedia untuk duduk di dalam kumpulan yang agak besar dalam satu ruang . Beritahu mereka cara untuk mengendalikan diri apabila berada dalam ruang yang sama dengan ramai orang.

Ajarkan cara agar mereka dapat menyesuaikan diri dalam situasi itu.

Contoh:
Apabila duduk dalam kumpulan, elakkan bergerak dengan gerakan lasak. Sebaiknya duduk. Apabila perlu berdiri,perlahan-lahan usah tergesa-gesa. Lihat kiri dan kanan. Jikalau ada orang lain, langkah berjalan dengan berhati-hati.

Apabila bercakap, tunggu giliran. Bercakap dengan perlahan, melainkan apabila diminta bercakap dengan kuat.

Perkara ini boleh sahaja ibu bapa terangkan apabila mengadiri majlis kenduri kahwin. Ruang dan peluang pembelajaran ini sangat luas. Tiada batasnya.

7. Bantu anak bina percaya diri yang tinggi.

Anak-anak mesti dibantu untuk menerima diri dan persekitaran dengan baik. Yakin dengan diri dan boleh merima orang lain adalah satu proses pembelajaran yang panjang.

Pastinya, ia mesti bermula dari rumah.

Antara cara biasa yang boleh dilakukan:

+ tidak membandingkan anak dengan anak orang lain
+ memuji kelakuan dan tingkahlaku anak-anak yang memberi kesan positif di hadapan adik beradik atau ahli keluarga
+ pastikan anak memahami akan perbezaan keperluan dan kehendak.
Contohnya, membeli beg sekolah ialah keperluan. Beg sekolah berjenama itu kehendak.

Cara ringkas ini membantu anak-anak mempunyai daya percaya yang tinggi,. Anak-anak tadika yang mempunyai keyakinian diri akan lebih mudah menyesuaikan diri di tadika.

Antara yang mereka tunjukkan di tadika ialah:

+ tidak irihati dan mengambil barang kepunyaan kanak-kanak lain
+ duduk bersama dengan selesa tidak mengira kumpulan
+ mampu mengikut rutin di dalam kelas dengan selesa
+ bertanya dan memberitahu keperluan diri kepada guru


No comments:

Post a Comment